Rokok
terbukti mengandung berbagai-bagai jenis bahan kimia berbahaya, diantaranya ialah
nikotin. Menurut pakar atau ahli kimia, telah jelas dibuktikan bahwa nikotin
yang terdapat dalam setiap batang rokok atau pada daun tembakau adalah ternyata
sejenis kimia memabukkan yang diistilahkan sebagai candu.
Dalam
syara pula, setiap yang memabukkan apabila dimakan, diminum, dihisap atau
disuntik pada seseorang maka ia di kategorikan sebagai candu atau dadah kerana
pengertian atau istilah candu adalah suatu bahan yang telah dikenal pasti bisa memabukkan atau
mengandung elemen yang bisa memabukkan. Dalam
mengklasifikasikan hukum candu atau bahan yang memabukkan, jumhur ulama fikah
yang berpegang kepada syara (al-Quran dan al- Hadith) sepakat menghukumkan atau
memfatwakannya sebagai benda "Haram untuk dimakan atau diminum malah wajib
dijauhi atau ditinggalkan". Pengharaman ini adalah jelas dengan berpandukan
kepada hujah-hujah atau nas-nas dari syara sebagaimana yang berikut ini: "Setiap
yang memabukkan itu adalah haram" H/R Muslim.
Hadith
ini dengan jelas menegaskan bahawa setiap apa sahaja yang memabukkan adalah
dihukum haram. Kalimah kullu (ßõáøõ)di dalam hadith ini bererti
"setiap" yang memberi maksud pada umumnya, semua jenis benda atau apa
saja benda yang memabukkan adalah haram hukumnya. Hadith ini dikuatkan lagi
dengan hadith di bawah ini: "Setiap sesuatu yang memabukkan maka bahan
tersebut itu adalah haram". H/R al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud.
Hadith
di atas ini pula telah menyatakan dengan cukup terang dan jelas bahwa setiap
apa saja yang bisa memabukkan adalah dihukum haram. Pada hadith ini juga Nabi
Muhammad s.a.w menggunakan kalimah kullu (ßõáøõ) iaitu "Setiap apa
saja", sama ada berbentuk cair, padat, debu (serbuk) atau gas.
Mungkin
ada yang menolak kenyataan atau nas di atas ini kerana beralasan atau menyangka
bahwa rokok itu hukumnya hanya makruh, bukan haram sebab rokok tidak
memabukkan. Mungkin juga mereka menyangka rokok tidak mengandung candu dan
kalau adapun kandungan candu dalam rokok hanya sedikit. Begitu juga dengan
alasan yang lain, "menghisap sebatang rokok tidak terasa memabukkan
langsung". Andaikan, alasan atau sangkaan seperti ini boleh diselesaikan
dengan berpandukan kepada hadith di bawah ini: "Apa
saja yang pada
banyaknya memabukkan, maka pada sedikitnya juga adalah haram". H/R Ahmad,
Abu Daud dan Ibn Majah.
Kalaulah
meneguk segelas arak hukumnya haram kerana ia benda yang memabukkan, maka
walaupun setetes arak juga hukum pengharamannya tetap sama dengan segelas arak.
Begitu juga dengan seketul candu atau sebungkus serbuk dadah yang dihukum haram.
Secebis candu atau secubit serbuk dadah yang sedikit juga telah disepakati oleh
sekalian ulama Islam dengan memutuskan hukumnya sebagai benda yang dihukumkan
haram untuk dimakan, diminum, dihisap (disedut) atau disuntik pada tubuh
seseorang jika tanpa ada sebab tertentu yang memaksakan atau keperluan yang
terdesak seperti darurat kerana rawatan dalam kecemasan. Begitulah hukum candu
yang terdapat di dalam sebatang rokok, walaupun sedikit ia tetap haram kerana
dihisap tanpa adanya sebab-sebab yang memaksa dan terpaksa.
Di
dalam sepotong hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad
s.a.w telah mengkategorikan setiap yang memabukkan itu sebagai sama hukumnya
dengan hukum arak. Seorang yang benar-benar beriman dengan kerasulan Nabi
Muhammad s.a.w tentulah meyakini bahawa tidak seorangpun yang layak untuk
menentukan hukum halal atau haramnya sesuatu perkara dan benda kecuali Allah dan
RasulNya. Tidak seorangpun berhak atau telah diberi kuasa untuk merubah hukum
yang telah ditetapkan oleh Allah melalui Nabi dan RasulNya kerana perbuatan ini
ditakuti boleh membawa kepada berlakunya syirik tahrif, syirik ta'til atau
syirik tabdil. Hadith yang mengkategorikan setiap yang memabukkan sebagai arak
sebagaimana yang di dimaksudkan ialah: "Setiap yang memabukkan itu
adalah arak dan setiap (yang dikategorikan) arak itu adalah haram". H/R
Muslim.
Dalam
perkara ini ada yang berkata bahawa rokok itu tidak sama dengan arak. Mereka
beralasan bahawa rokok atau tembakau itu adalah dari jenis lain dan arak itu
pula dari jenis lain yang tidak sama atau serupa dengan rokok. Memanglah rokok
dan arak tidak sama pada ejaan dan rupanya, tetapi hukum dari kesan bahan yang
memabukkan yang terkandung di dalam kedua-dua benda ini (rokok dan arak) tidak
berbeza di segi syara kerana kedua benda ini tetap mengandungi bahan yang
memabukkan dan memberi kesan yang memabukkan kepada pengguna atau penagihnya.
Tidak kira sedikit atau banyaknya kandungan yang terdapat atau yang digunakan,
yang menjadi perbincangan hukum ialah bendanya yang boleh memabukkan, sama ada
dari jenis cecair, pepejal, serbuk atau gas apabila nyata memabukkan sama ada
kuantitinya banyak atau sedikit maka hukumnya tetap sama, iaitu haram
sebagaimana keterangan dari hadith sahih di atas.
Di
hadith yang lain, Nabi Muhammad s.a.w mengkhabarkan bahawa ada di kalangan
umatnya yang akan menyalahgunakan benda-benda yang memabukkan dengan menukar
nama dan istilahnya untuk menghalalkan penggunaan benda-benda tersebut: "Pasti
akan berlaku di kalangan manusia-manusia dari umatku, meneguk
(minum/hisap/sedut/suntik) arak kemudian mereka menamakannya dengan nama yang
lain". H/R Ahmad dan Abu Daud.
Seseorang
yang benar-benar beriman dan ikhlas dalam beragama, tentunya tanpa banyak
persoalan atau alasan akan mentaati semua nas-nas al-Quran dan al-hadith yang
nyata dan jelas di atas. Orang-orang yang beriman akan berkata dengan suara hati
yang ikhlas, melafazkan ikrar dengan perkataan serta akan sentiasa melaksanakan
firman Allah yang terkandung di dalam al-Quran : "Kami akan sentiasa dengar
dan akan sentiasa taat". Tidaklah mereka mahu mencontohi sikap dan
perbuatan Yahudi yang dilaknat dari dahulu sehinggalah sekarang kerana
orang-orang Yahudi itu apabila diajukan ayat-ayat Allah kepada mereka maka
mereka akan menentang dan berkata : "Kami sentiasa dengar tetapi kami
membantah".
Sebagai
contoh iman seorang Muslim yang sejati ialah suatu peristiwa yang mengisahkan
seorang sahabat yang terus menuangkan gelas sisa-sisa arak yang ada padanya ke
tanah tanpa soal dan bicara sebaik sahaja turunnya perintah pengharaman arak.
Hanya iman yang mantap dapat mendorong seseorang mukmin sejati dalam mentaati
segala perintah dan larangan Allah yang menjanjikan keselamatannya di dunia dan
di akhirat.
Kalaulah
Nabi Muhammad s.a.w telah menjelaskan melalui hadith-hadith baginda di atas
bahawa setiap yang boleh memabukkan apabila dimakan, diminum atau digunakan
(tanpa ada sebab-sebab keperluan atau terpaksa), maka ia dihukum sebagai benda
haram dan ia dianggap sejenis dengan arak. Penghisapan dadah nikotin yang
terdapat di dalam rokok bukanlah sesuatu yang wajib atau terpaksa dilakukan
seumpama desakan dalam penggunaan dadah kerana adanya sebab-sebab tertentu
seperti desakan semasa menjalani rawatan atau sebagainya. Sebaliknya,
penghisapan rokok dimulakan hanya kerana tabiat ingin suka-suka yang akibatnya
menjadi suatu ketagihan yang memaksa si penagih melayani kehendak nafsunya.
Dalam pada itu, tanpa kesedaran, ia telah membeli penyakit dan menambah masalah,
mengundang kematian dan tidak secara langsung ia telah melakukan kezaliman
terhadap diri sendiri di samping mengamalkan pembaziran yang amat ditegah oleh
syara (haram).
Dadah
(bahan yang memabukkan) telah disamakan hukumnya dengan arak oleh Nabi Muhammad
s.a.w disebabkan kedua-dua benda ini boleh memberi kesan mabuk dan ketagihan
yang serupa kepada penggunanya (penagih arak dan dadah). Melalui kaedah (cara
pengharaman) yang diambil dari hadith Nabi di atas, dapatlah kita kategorikan
jenis dadah nikotin yang terdapat di dalam rokok sama hukumnya dengan arak dan
semua jenis dadah yang lain.
Kesimpulannya,
rokok atau tembakau yang sudah terbukti mengandungi dadah nikotin adalah haram
pengambilannya kerana nikotin sudah ternyata adalah sejenis dadah yang boleh
membawa kesan mabuk atau memabukkan apabila digunakan oleh manusia. Malah dadah
ini akan menjadi lebih buruk lagi setelah mengganggu kesihatan seseorang
penggunanya sehingga penderitaan akibat penyakit yang berpunca dari rokok
tersebut mengakibatkan kematian. Rokok pastinya menambahkan racun (toksin) yang
terkumpul di dalam tubuh badan sehingga menyebabkan sel-sel dalam tubuh
seseorang itu mengalami kerosakan, mengganggunya daripada berfungsi dengan baik
dan membuka kepada serangan kuman dan barah.
Apabila
pengambilan rokok yang mengandungi bahan yang memabukkan dianggap haram kerana
nyata ia digolongkan sejenis dengan arak (ÎÜóãúÑñ) oleh Nabi Muhammad
s.a.w maka di dalam hadith dan al-Quran pula terdapat amaran keras dari Allah
dan RasulNya:
"Dari
Abu Musa berkata : Bersabda Rasulullah saw : Tiga orang tidak masuk syurga.
Penagih arak, orang yang membenarkan sihir dan pemutus silaturrahmi". H/R
Ahmad dan ibn Hibban.
"Mereka
bertanya kepada engkau tentang arak dan perjudian, katakanlah bahawa pada
keduanya itu dosa yang besar". Al Baqarah:219.
"Hai
orang-orang yang beriman, bahawasanya arak , judi, (berkorban untuk) berhala dan
bertenung itu adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, sebab itu
hendaklah kamu meninggalkannya semuga kamu beroleh kejayaan". Al Maidah:90.
Hadith
di atas Nabi Muhammad s.a.w telah mengkhabarkan bahawa penagih arak tidak masuk
dan dalam ayat di atas pula, Allah mengkategorikan arak (khamar) sejajar dengan
berhala dan bertenung sebagai perbuatan keji (kotor) yang wajib dijauhi oleh
akal yang sihat. Perkataan "rijs" ini tidak digunakan dalam al-Quran
kecuali terhadap perkara-perkara yang sememangnya kotor dan jelek. Perbuatan
yang buruk, kotor, buruk dan jelek ini tidak lain mesti berasal daripada
perbuatan syaitan yang sangat gemar membuat kemungkaran sebagaimana amaran Allah
selanjutnya yang menekankan bahwa: "Sesungguhnya syaitan termasuk hendak
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran khamar dan judi itu
dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang. Apakah kamu tidak
mahu berhenti?". Al Maidah:91.
Justeru
itu Allah menyeru supaya berhenti daripada perbuatan ini dengan ungkapan yang
tajam : "Apakah kamu tidak mahu berhenti?"
Seseorang
mukmin yang ikhlas tentunya menyahut seruan ini sebagaimana Umar r.a ketika
mendengar ayat tersebut telah berkata: "Kami berhenti, wahai Tuhan kami,
Kami berhenti, wahai Tuhan kami".
Utsman
bin 'Affan r.a juga telah berwasiat tentang benda-benda yang memabukkan yang
telah diistilahkan sebagai khamar (닄) "arak". Sebagaimana wasiat
beliau: "Jauhkanlah diri kamu dari khamar (benda yang memabukkan),
sesungguhnya khamar itu ibu segala kerosakan (kekejian/kejahatan)". Lihat :
Tafsir Ibn Kathir Jld.2, M/S. 97.
Ada
yang menyangka bahawa rokok walaupun jelas setaraf klasifikasinya dengan arak
boleh dijadikan ubat untuk mengurangkan rasa tekanan jiwa, tekanan perasaan,
kebosanan dan mengantuk. Sebenarnya rokok tidak pernah dibuktikan sebagai
penawar atau dapat dikategorikan sebagi ubat kerana setiap benda haram
terutamanya apabila dibuktikan mengandungi bahan memabukkan tidak akan menjadi
ubat, tetapi sebaliknya sebagaimana hadith Nabi s.a.w: "Telah berkata
Ibn Masoud tentang benda yang memabukkan : Sesungguhnya Allah tidak akan
menjadikan ubat bagi kamu pada benda yang Ia telah haramkan kepada kamu".
H/R al-Bukhari.
"Telah
berkata Waail bin Hujr : Bahawa Tareq bin Suwid pernah bertanya kepada Nabi
s.a.w tenang pembuatan arak, maka Nabi menegahnya. Maka baginda bersabda :
Penulis membuatnya untuk (tujuan) perubatan. Maka Nabi bersabda : Sesungguhnya
arak itu bukan ubat tetapi penyakit". H/R Muslim dan Turmizi. Allohu
a’lam.
|
No comments: